Hidupkan hati yang mati dengan ilmu.
Sembahyang berjemaah ialah sembahyang yang dilakukan dengan berimamdan bermakmum.
Dari hadith Rasulullah saw mengatakan bahawa sembahyang berjemaah akan mendapat 27 darjat dari sembahyang bersendirian.
Sembahyang berjemaah tidak semestinya dilakukan di masjid-masjid sahaja. Ia boleh dilakukan di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja tempat yang suci dari najis dan selamat untuk didirikan sembahyang.
Selain dari sembahyang fardu 5 waktu dan sembahyang fardu Hari Jumaat, sembahyang secara berjemaah juga boleh dilakukan untuk beberapa sembahyang sunat seperti sembahyang sunat terawih dan witir Ramadan, sembahyang sunat 2 Hari Raya, sembahyang sunat qiamulail, sembahyang sunat gerhana bulan / matahari, sembahyang sunat minta hujan dan sebagainya.
Sementara sembahyang sunat qabliah dan ba'diah biasanya dilakukan secara sendirian.
Arti Imam
Imam ialah orang yang memimpin sembahyang.
Imam mestilah seorang lelaki Muslim yang cukup syarat untuk menjadi imam sembahyang seperti sudah baligh, baik ilmu agamanya, baik bacaan al-Qur'annya dan baik akhlaknya serta faham akan adab dan cara-cara menjadi imam.
Seorang Muslimah boleh menjadi imam sembahyang hanya kepada jemaah Muslimah sahaja. Seorang suami adalah sebaik-baik imam kepada ahli keluarganya.
Imam mestilah memastikan saf (barisan) para jemaah adalah rapat dan lurus.
Dari hadith Rasulullah saw mengatakan bahawa saf yang renggang akan dimasuki Syaitan yang kerjanya adalah untuk mengganggu orang yang sedang bersembahyang.
Maka hendaklah dihalang Syaitan itu dengan berdiri rapat di saf.
Imam yang baik ialah imam yang perihatin terhadap para jemaah yang datang.
Mereka adalah dari pelbagai lapisan masyarakat dan dalam keadaan yang berbagai-bagai seperti yang muda, yang tua, yang kurang sihat, yang banyak urusan lain, yang kurang ilmu agamanya dan berbagai lagi keadaan jemaah yang datang untuk bersembahyang bersama imam.
Maka sebaik-baiknya hendaklah Imam mempermudahkan sembahyang itu supaya dapat diikuti oleh sekelian jemaah.
Dan jika Imam hendak melakukan perkara yang sunat dalam sembahyangnya (seperti sujud tilawah) hendaklah Imam memaklumkan kepada jemaah sebelum sembahyang bermula supaya mereka faham dan tidak membuat kesilapan yang boleh membatalkan sembahyangnya.
Niat sembahyang bagi imam; contohnya - 'Sajah aku sembahyang fardu Isyak 4 rakaat menjadi imam kerana Allah Ta'ala'.
Erti Makmum
Jemaah yang mengikut sembahyang imam dinamakan makmum.
Bilangan makmum yang paling sedikit ialah seorang sahaja dan bilangan yang paling ramai adalah tidak terbatas.
Makmum terdiri dari 4 kumpulan jemaah iaitu jemaah lelaki, jemaah wanita, dan jemaah kanak-kanak lelaki / perempuan yang belum baligh.
Susunan kedudukan makmum adalah seperti berikut
1) Saf jemaah lelaki
2) Saf jemaah kanak-kanak lelaki (jika ada)
3) Saf jemaah kanak-kanak perempuan (jika ada)
4) Saf jemaah wanita
Setiap jemaah yang hendak menjadi makmum mesti berniat menjadi makmum dalam niat semabahyangnya.
Contohnya; 'Sahaja aku sembahyang fardu Isyak 4 rakaat tunai makmuman (mengikut imam) kerana Allah Ta'ala'.
Ada 2 jenis makmum iaitu:
1) Makmum Muafiq
Makmum muafiq ialah makmum yang dapat ikut takbiratulihram imam.
Inilah makmum yang telah bersedia di saf tatkala imam memulakan sembahyang.
2) Makmum Masbuq
Makmum masbuq ialah makmun yang tidak dapat ikut takbiratulihram imam.
Ini adalah makmum yang lambat dan masuk ke dalam saf jemaah ketika sembahyang sudah pun bermula.
Dalam sembahyang berjemaah adalah wajib atas makmum mengikut imam dalam rukun-rukun sembahyang.
Jika makmum tidak ikut apa yang dilakukan imam, maka sembahyang makmum itu dihukum batal.
Jika imam membuat perkara-perkara yang sunat seperti sujud tilawah, sujud sahwi atau membaca doa qunut (juga qunut nazilah), makmum wajib mengikutnya juga.
Jika tidak, sembahyang makmum menjadi batal. Ertinya perkara yang sunat bagi imam, menjadi wajib kepada makmum.
Adab atau cara-cara sembahyang berjemaah
Dalam sembahyang berjemaah, makmum hendaklah mengikut pergerakan imam hanya selepas imam selesai melafazkan takbir intiqalat (takbir antara rukun).
Jika makmum bergerak bersamaan takbir imam, ditakuti pergerakan makmun itu lebih cepat dari imam lalu makmum akan mendahului imam dalam rukuk, iktidal, sujud dan seterusnya.
Maka makmum hendaklah pastikan dirinya tidak bergerak sebelum imam selesai takbir intiqalatnya.
Contohnya:
Setelah imam membaca surah, imam akan takbir intiqalat (Allahu Akhbar) ketika turun untuk rukuk. Makmum hendaklah tunggu sehingga takbir imam sempurna sebelum ikut takbir dan turun rukuk.
Jangan bertakbir intiqalat bersamaan imam. Inilah yang dimaksudkan makmum mengikut imam dalam sembahyang berjemaah.
Adab atau cara-cara rukun qauli (bacaan) dalam sembahyang berjemaah.
1) Takbiratul ihram.
Yang dapat ikut takbiratul ihram imam ialah makmum muafiq.
Biarkan imam melafazkan takbiratul ihram dengan sempurna dahulu, kemudian baharulah makmum muafiq masing-masing mengangkat takbiratul ihram beserta niat. Jangan bersamaan takbiratul ihram makmum dengan imam.
2) Surah al-Fateha.
Ketika imam membaca al-Fateha (secara kuat), makmum hendaklah mendengar.
Setelah diaminkan al-Fateha imam, baharulah makmum membaca surah al-Fatehah masing-masing.
Untuk bacaan al-Fateha yang tidak dibaca dengan kuat oleh imam, makmum hendaklah membacanya apabila telah berdiri untuk rakaat yang baru.
3) Tahiyatul akhir.
Imam tidak membaca tahiyat akhir dengan kuat.
Maka makmum teruslah membacanya apabila telah duduk tahiyat akhir bersama imam.
3) Salam.
Setelah membaca tahiyat akhir, makmum hendaklah tunggu sehingga imam selesai memberi salam kanan dan salam kiri sebelum mula memberi salam.
Untuk makmum masbuq yang berhutang rakaat, apabila imam telah selesai memberi salam kiri, makmum masbuq jangan memberi salam tetapi hendaklah berdiri kembali untuk menambah bilangan rakaat yang tertinggal.
Di akhir sembahyang itu, makmum masbuk hendaklah duduk tahiyat akhir dan baca tahiyat akhir lagi sebelum salam. Makmum masbuk tetap dapat pahala berjemaah bersama imam.
Adab atau cara-cara makmum masbuq masuk sembahyang berjemaah.
Bagaimanakah caranya makmum masbuq masuk ke dalam sembahyang yang sedang berjalan?
Makmum masbuq hendaklah bergabung dengan makmum muafiq di saf.
Seseorang makmum itu dilarang sembahyang sendirian atau berjauhan dari jemaah kerana dia akan ditemani oleh syaitan.
Jika saf telah penuh dan makmun masbuq itu lebih dari seorang, maka hendaklah mereka buat saf yang baharu.
Jika makmum masbuq itu seorang, hendaklah dia menepuk (sekali sahaja) bahu seorang makmum di saf hadapan untuk membuat saf baharu.
Makmum yang ditepuk bahunya itu hendaklah berundur ke belakang setapak demi setapak untuk berganding dengan makmum masbuq tadi.
Makmum masbuq memasuki sembahyang berjemaah dalam beberapa keadaan seperti berikut ini:-
1) Ketika imam sedang membaca al-fateha (atau surah)
Makmum masbuq hendaklah angkat takbiratul ihram beserta niat kemudian baca al-Fateha selepas imam selesai membacanya.
Jika sebelum selesai makmum itu membaca al-Fatehanya imam sudah pun rukuk, makmum boleh meneruskan bacaaan al-Fatehanya jika yakin dapat ikut rukuk imam beserta tamakninah.
Jika tidak yakin, maka hentikan bacaan al-Fateha dan segera ikut rukuk imam.
Jika imam rukuk ketika makmum masbuq baharu hendak mulakan al-Fatehanya, maka dia mesti hentikan bacaan al-Fateha dan ikut imam rukuk.
Dalam kedua-dua keadaan ini, rakaat ini dikira sah untuk makmum masbuq tersebut dan tidak perlu baginya menambah rakaat itu.
Bacaan al-Fatehanya ditanggung imam. Rakaat dikira sah jika makmum masbuq dapat membuat rukuk dan tamakninah bersama imam dalam satu rakaat.
2) Ketika imam sedang rukuk.
Makmum masbuq hendaklah angkat takbiratul ihram beserta niat. Kemudian terus rukuk tanpa perlu membaca al-Fateha.
Jika dia dapat tamakninah (diam dalam rukuk bersama imam) sekurang-kurangnya 3 detik, maka rakaat itu sah dan tidak perlu ditambah di akhir sembahyang.
Jika ketika hendak rukuk, imam pun bangun iktidal, hendaklah dibatalkan rukuk itu dan ikut iktidal imam. Makmum masbuq itu tidak dapat rakaat ini (tidak sah) dan wajib ditambah di akhir sembahyang.
3) Ketika imam sedang sujud / duduk antara dua sujud / duduk tahiyat
Makmum masbuq mempunyai 2 pilihan:
1) Masuk sembahyang dengan bertakbiratul ihram beserta niat. Kemudian terus sujud dan ikut imam sehingga ke akhir sembahyang.
Tunggu imam berdiri untuk mulakan rakaat yang baharu.
Angkat takbiratul ihram beserta niat apabila imam sedang membaca al-Fateha. Kemudian ikutlah imam sehingga selesai sembahyang itu.
Bagi kedua-dua pilihan ini, makmum masbuq tidak dapat rakaat ini dan wajib menambahnya selepas membaca tahiyat akhir.
Namun jika dia ikut imam duduk tahiyat awal, dia tetap dapat pahala tahiyat itu meskipun rakaat itu tidak sah baginya dan perlu diganti selepas imam memberi salam.
Adab atau cara-cara makmum masbuq menambah rakaat yang tertinggal
1) Setelah imam selesai memberi salam kira, makmum masbuq jangan ikut salam tetapi bangun berdiri semula untuk menambah rakaat yang tertinggal iaitu rakaat yang tidak dapat rukuk bersama imam.
2) Jika dia tertinggal 1 rakaat, tambahlah 1 rakaat sahaja.
Jika tertinggal 2, tambahlah 2 rakaat lagi. Begitulah seterusnya.
3) Jika hendak menambah rakaat ke 2, buatlah tahiyat awal kerana ia adalah sunat ab'ad (diberatkan buat).
4) Makmum masbuq tetap wajib mengakhiri sembahyang itu dengan duduk tahiyat dan baca lagi tahiyat akhir sebelum salam. Dalam ibadah sembahyang, tidak boleh salam tanpa tahiyat.
Makmum masbuq dalam sembahyang Jumaat.
Makmum yang tidak dapat satu pun rakaat sembahyang Jumaat dengan imam, mesti menggantikan dengan 4 rakaat setelah sembahyang Jumaat itu selesai.
Wallauhu'alam bisawab.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar